14 Disember 2008

Kedamaian Hari Petang Di Sebuah Felda






Kedamaian petang kadang-kadang mengamit memori lama aku yang tidak mungkin akan kembali menemui aku yang kian terus meningkat umurnya dan menjalani memori yang baru. Terkenang zaman kanak-kanak ketika masih nakal dan hanya memikir untuk berseronok. Memori lama ketika aksi kejar mengejar oleh Pak Abu dan Allahyarham Ustaz Arshad akibat memecahkan tingkap rumah mereka ketika bermain 'rounders' masih segar dalam kotak memori aku.

13 Disember 2008

Dipinda Lagi..

Auku atau Akta Universiti dan Kolej Universiti dikuatkuasakan bermula 1971 serta sudah melalui proses pindaan sebanyak 3 kali iaitu pada tahun 1975, 1983 dan 1996. Akhirnya ia dipinda sekali lagi berkuatkuasa semalam 12 Disember 2008. Antara kandungan pindaan tersebut ialah membenarkan setiap mahasiswa untuk bergiat dalam dalam organisasi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan berdaftar dengan tujuan pendidikan. selain itu terdapat beberapa pindaan lagi seperti memindahkan beberapa kuasa Yang Dipertuan Agong dan Menteri kepada Lembaga Pengarah Universiti, Senat dan Naib Canselor.

"....kami berharap supaya kerajaan serius melaksanakan pindaan itu dan tidak bersifat kosmetik semata-mata."

Ini adalah sedikit petikan dari sebuah artikel kiriman seseorang dalam akhbar tempatan Malaysia.

Namun bagi pendapat aku yang jahil dan kurang pandai dalam hal-hal sebegini, ia akan tetap memberikan manfaat kepada sesetengah pihak yang suka menangguk di air keruh. Pindaan ini akan tetap dicemari dengan tangan-tangan kotor yang suka menunggu kesempatan untuk kepentingan diri sendiri.

Bukankah dengan keterbukaan seperti ini akan lebih membuka ruang-ruang kosong untuk mereka bergiat aktif dalam menabur ideologi-ideolagi mereka yang berkemungkinan akan memberikan kesan buruk kepada mahasiswa?

Namun diharapkan dengan pindaan ini aku berharap ia akan memberikan kesan yang baik dalam perkembangan pendidikan di Malaysia serta akan dapat melahirkan golongan Mahasiswa yang banyak manfaatnya dalam memantapkan sistem pentadbiran negara kelak.

12 Disember 2008

Jarang Berlaku..

Jarang benar fenomena ini berlaku. Sejak 10 tahun dahulu mengikut cerita ayah aku ini kali yang ke-2 belakang rumah aku dinaiki air, namun ia tidak seteruk 10 tahun dahulu. Walaupun fenomena ini tidaklah seteruk mana sehingga mendatangkan kemalangan jiwa ataupun meragut nyawa namun ia cukup untuk membuatkan ayah aku berasa sedih kerana habis tanaman sayurnya musnah akibat 'bah' tersebut.

Mungkinkah Berlaku..

Semalam aku keluar dari belenggu kebosanan hidup yang aku lalui selepas sahaja menamatkan zaman yang sememangnya akan aku tinggalkan. Aku keluar bersama beberapa orang rakan-rakan untuk mengubah angin dan hirupan nafas yang baru di sekitar pekan Tanjong Malim. Sudah banyak perubahan yang berlaku pada pekan ini, ianya tidak sama lagi seperti 5 tahun dahulu sekitar zaman persekolahan menegah aku dan rakan-rakan. Namun dalam arus perubahan itu masih ada lagi kedai-kedai yang masih kekal seperti kedai Jam Ban Tan serta kedai vcd dan dvd Ravi di mana tempat aku mendapatkan stok dvd filem-filem terbaru mahupun lama serta vcd atau dvd haram.

Namun bukan itu yang ingin aku kongsikan.

Setelah agak lama menghabiskan masa yang sememangnya terluang tersebut aku ke station bas untuk mengambil kenderaan untuk dijadikan tunggangan pulang. Sedang aku memerhatikan gelagat orang aku terpandang poster di atas. “RAKYAT PENGAYUH PERUBAHAN”

RAKYAT PENGAYUH PERUBAHAN merupakan satu kempen anjuran JARINGAN RAKYAT TERTINDAS (JERIT) yang dianggotai oleh jawatankuasa pekerja dan masyarakat yang inginkan perubahan. Kempen ini juga menuntut beberapa perkara kepada kepimpinan kerajaan antaranya :

1. Perumahan selesa untuk rakyat

2. Mansuhkan akta zalim ISA, AUKU, OSA dan lain-lain

3. Kawal harga barangan

4. Hentikan penswastaan perkhidmatan asas

5. Gubal akta gaji minima RM1500

6. Pilihanraya atas kuasa rakyat

Kemuncak acara kempen ini adalah pada 18 Disember 2008 pada jam 10.00 pagi iaitu kayuhan berakhir di parlimen. Untuk keterangan atau maklumat lanjut silalah layari www.jerit.org

Aku bukan salah seorang dari mereka, cuma jika berpandukan pada tajuk diatas MUNGKINKAH BERLAKU? Ia merupakan persoalan yang bermain dalam fikiran aku sejak terbaca poster kempen ini. Mungkinkah berlaku perubahan yang mereka inginkan sedangkan persidangan perlimen yang merupakan intitusi perlembagaan tertinggi negara sahaja masih di takok lama dan hanya banyak membahaskan perkara yang masih terbengkalai dan dicemari dengan banyak perkara yang membosankan serta meloyakan tekak.

Namun dengan usaha ini diharapkan akan membuka mata banyak pihak yang akan membuahkan perubahan dan mendatangkan kebaikan.

Benar kata seorang hamba ALLAH yang yang tidak pernah bersekolah ini apa perbezaan dengan baling dan lontar, berlari dan berambat.

07 Disember 2008

Salam AidilAdha

Esok 8 Disember 2008 bersamaan 9 zulhijjah 1429h semua umat islam akan merayakan Hari Raya AidilAdha atau lebih dikenali dengan nama Hari Raya Korban. Tidak ada apa yang menarik untuk diperkatakan jika menjelangnya Hari Raya AidilAdha ini. Kemeriahannya hanyalah tidak seberapa. Namun di sesetengah negeri di Malaysia Hari Raya ini akan disambut dengan meriahnya seperti Kelantan contohnya.

Pagi esok akan berkumandang lagi tasbih dan tahmid bagi membesarkan kebesaran Allah s.w.t. Setelah itu akan berlangsung pula ibadah korban bagi mereka yang telah berniat untuk melakukannya pada tahun ini, dan pada ketika ini juga kemuncak kemeriahan Hari Raya AidilAdha itu akan dapat kita rasai.

Kepada ahli keluarga dan semua umat islam yang melakukan ibadah haji di Baitullah, sama-samalah kita doakan mereka agar selamat pulang ke tanah air dengan membawa haji yang mabrur. Insyaallah...

Salam AidilAdha buat semua..

03 Disember 2008

Tidak Semua Manusia Bernasib Baik

“BENCI pengkid dan gay! Serahkan kuasa tangkap pengkid dan gay kepada tentera. Biar mereka tahu langit tinggi atau rendah”

Begitulah bunyinya satu kiriman sms dalam sebuah ruangan akhbar tempatan di Malaysia yang dikirimkan oleh seorang hamba Allah.

Tidak semua manusia yang lahir dengan kekurangan seperti ini mengharapkan mereka untuk menjadi seperti yang telah ditentukan oleh Yang Maha Kuasa. Mungkin ramai orang memandang jijik atau hina terhadap golongan seperti ini. Namun hakikatnya cuba menyelami hati dan perasaan mereka. Ramai yang berpendapat hubungan songsang ini hanyalah bertuhankan nafsu semata-mata.

Aku bukanlah seorang yang ingin menentang hukum yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan iaitu mengharamkan golongan ini jauh sekali untuk menentang hukum Allah s.w.t. Namun aku agak tersinggung oleh kenyataan sms yang tertera di atas. Sememangnya tugas tentera adalah untuk menjaga keamanan Negara. Tetapi golongan ini bukanlan penganas. Mengapa harus sebegitu sekali hinanya golongan ini dipandang oleh mata manusia.

SIAPA yang hanya bertuhankan nafsu di sini? Golongan yang hendak ditangkap dengan kuasa ketenteraan itu atau mereka yang hanya berfikir sekali dan mengunakan hati dan lidah tanpa usul periksa?

Seharusnya amalan pencegahan sebagai satu usaha yang berterusan bagi membendung gejala sosial seperti ini adalah lebih baik dari usaha untuk menghina lagi golongan ini.

Berfikir dari banyak sudut yang melambatkan keputusan dan pendapat adalah lebih baik dari mengutarakan keputusan dan pendapat dengan terburu-buru.

01 Disember 2008

Cerita Getah dan Hujan

Harga getah turun semula, jika sebelum menjelang hari raya yang lepas harga getah berada pada tahap yang amat selesa untuk semua pengusaha getah mahupun penoreh getah itu sendiri iaitu pada harga RM 3.50 untuk sekilogram. Namun baru-baru ini harganya menurun pada tahap yang amat menyeksakan setiap mereka yang bergantung harapan untuk menyambung kehidupan dengan hasil getah terutamanya penoreh getah iaitu pada harga RM 1.65 untuk sekilogram ( mengikut harga yang ditawarkan oleh PMG setiap kawasan masing-masing)

Berbual aku dengan seorang penoreh getah di kampung aku baru-baru ini. Beliau bertanya dan mengemukakan persoalan berikut kepada aku “ harga minyak dah turun, tapi harga getah tak pulak naik-naik”. “ yang hairan tambang bas naik pulak?” . “Kalau macam ni siapa yang susah?”
Persoalan itu membuatkan aku diam seribu bahasa. Namun seketika kemudian beliau yang menjawab persoalan yang beliau sendiri kemukakan. “ Kami ni lah yang susah!, pekebun-pekebun kecil yang bergantung hidup dengan hasil getah”.

Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu kini ia amat menyukarkan lagi keadaan mereka, terutamanya mereka yang berada di sesetengah tempat di Malaysia yang kini sudah mula di naiki air. Seperti di Kelantan, Terengganu dan sebagainya. Ini amat menyukarkan!

Pemerhatian yang tidak terbatas sehingga melepasi sempadan Negara dan batasan masa membuatkan kita dapat melihat dan menilai keadaan dunia kini. Pergolakkan di sesetengah Negara jiran kita sedikit sebanyak menyebabkan kita juga akan menerima tempiasnya terutamanya dalam aspek ekonomi. Namun itulah hakikat yang kita semua lihat dan dengar!?

Penurunan harga minyak mungkin akan menyebabkan sesetengah daripada kita semua akan tersenyum gembira. Namun dalam masa yang sama ada juga yang masih meletakkan tangan di dahi ketika mahu tidur dikala malam melabuh tirai, berfikir bagaimana untuk meneruskan hidup dengan keadaan sekarang. Terutamanya seperti pekebun kecil atau seperti penoreh getah tadi yang terpaksa menanggung 8 orang anak dimana 6 daripadanya masih lagi perlu mendapatkan pendidikan dan sebagainya.